sfhzuraz Publish time 16-3-2022 09:35 PM

Konflik Ukraine-Russia tidak jejas kesiapsiagaan pertahanan Malaysia

Konflik Ukraine-Russia tidak jejas kesiapsiagaan pertahanan Malaysia

Oleh Ahmad Suhael Adnan - Mac 16, 2022 @ 6:05pm   ahmad.suhael@bh.com.my

https://assets.bharian.com.my/images/articles/SUKHOI_SU-30MKM-0809_1647427847.jpg
(Gambar fail) Pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sukhoi Su-30MKM. - NSTP/DANIAL SAAD



KUALA LUMPUR: Konflik antara Ukraine dengan Russia ketika ini tidak menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan negara, walaupun Malaysia masih bergantung pada Russia untuk pembekalan aset pertahanan tertentu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya menerusi syarikat tempatan, memiliki kontrak dengan Russia untuk pembekalan alat ganti pesawat Sukhoi Su-30MKM.
Selain itu, katanya, Russia mempunyai kontrak dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk pembekalan peluru berpandu anti-kereta kebal (ATGM) Metis-M.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, ia tidak menjejaskan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana MINDEF sudah ada perancangan untuk mengurangkan kebergantungan pada Russia, sejak sebelum konflik itu tercetus.
"Syarikat tempatan terbabit, iaitu Aerospace Technology Systems Corporation Sdn Bhd (ATSC), mengesahkan pihaknya memiliki keupayaan untuk meneruskan penyelenggaraan pesawat Sukhoi dan mempunyai stok alat ganti pesawat itu untuk tempoh dua tahun lagi.
"Bagi memastikan kesiapsiagaan aset ATM, MINDEF akan memperluaskan alternatif untuk mendapatkan bekalan alat ganti dari sumber negara lain yang menggunakan teknologi dan pesawat sama, seperti India.
"Sehubungan itu, apa jua perkembangan dalam konflik Ukraine-Russia tidak akan menjejaskan kesiapsiagaan ATM dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, MINDEF sentiasa mengambil pendekatan mempelbagaikan sumber perolehan aset strategik, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada negara tertentu.
"Secara keseluruhan, konflik Ukraine-Russia yang sedang berlaku tidak memberi implikasi besar terhadap perolehan dan perancangan aset pertahanan negara, mahupun kesiapsiagaan ATM dalam memelihara keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara," katanya.
Berhubung sekatan pelbagai negara terhadap Russia susulan pencerobohan terhadap Ukraine, Hishammuddin mengulangi pendirian Malaysia tidak mengiktiraf sekatan yang dilakukan secara unilateral.
Beliau menegaskan, sebarang sekatan mesti dilaksanakan menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seperti yang dimaklumkan Menteri Luar di Dewan Rakyat pada 8 Mac lalu.
"MINDEF juga mengambil maklum terhadap apa yang dinyatakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa perdagangan antara Malaysia dengan Russia adalah pada tahap minimum.
"MITI juga menyatakan urusan berkaitan perdagangan komersial, pertimbangan untuk meneruskan sesuatu urusan atau sebaliknya, adalah bawah entiti perniagaan masing-masing," katanya.






sfhzuraz Publish time 16-3-2022 09:36 PM

Tz6hTAo26c8
Pages: [1]
View full version: Konflik Ukraine-Russia tidak jejas kesiapsiagaan pertahanan Malaysia


ADVERTISEMENT