|
Ezad Lazim terkejut dan kesal dengan berita palsu tentang kematiannya sejak Khamis di media sosial.
Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 44, berkata, meskipun ini bukan kali pertama perkara serupa berlaku, namun dia tidak menyangka ada pihak sanggup menyebarkan fitnah ketika dia masih sihat.
 IG
"Sebelum ini pun sudah ada terjadi perkara sama tapi ketika itu memang saya sedang sakit di hospital. Kali ini tiada pun berita sakit tiba-tiba saya dikhabarkan meninggal dunia.
"Saya pun tak faham kenapa masih ada yang sanggup buat begini. Apa paling pelik, tajuk yang ditulis tidak sama seperti cerita disampaikan.
"Dalam artikel berkenaan memberitahu adik saya meninggal dunia sedangkan arwah sudah lama telah tiada," katanya kepada mStar.
Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai berita palsu itu selepas menerima tangkap layar daripada seorang rakan.
Penyanyi itu pada mulanya hanya mahu mengabaikan perkara tersebut, namun terpaksa menjawab pertanyaan ramai yang menghubunginya untuk pengesahan.
"Dalam kalangan orang terdekat memanglah tahu keadaan sebenar sebab mereka nampak saya post perkara lain di sosial media.
"Apa yang menjadi kerisauan adalah saudara-mara jauh yang banyak menghubungi bertanyakan hal ini.
"Bagaimanapun ada peminat muda yang menghantar mesej di sosial media memohon maaf selepas diulang siar semula berita tersebut,” jelasnya.
Sementara itu Ezad berharap pihak terbabit tidak lagi mengulangi perkara sama terutama hal berkaitan nyawa seseorang yang boleh mengundang salah faham.
"Dah banyak kali jadi macam ini dan ramai sudah berkongsi nasihat. Masih lagi terjadi perkara sama. Janganlah kongsi kalau tak sahih," jelasnya.
Sumber: mStar |
|